Betul ke ni?? 5 PETUA UNTUK MEMBELI RUMAH UNTUK ORANG BUJANG | Kebanyakan masa bila sahabat handai bertanya soalan serius ini, saya
tertanya juga apakah mereka menganggap saya ini pencipta Waze. Letak
saja alamat, mesti tahu arah tuju.
Advertisement
"Betulkah rumah akan turun harga tahun depan?’’ soal Syed dengan muka
penuh pengharapan. Beliau merujuk kepada beberapa kenyataan kerajaan
bahawa sektor hartanah negara ini mengalami situasi 'tidak laku’ dan
fakta, betapa harga rumah sekarang melampau-lampau.
Yang diistilahkan 'mampu milik’ pun berada di paras RM400,000 sebuah.
Berapa gaji minimum anda kena miliki untuk layak dapat pinjaman bank
atau gadai janji (mortgage)? Dan katakanlah bank hanya memberi kemudahan
95 peratus. Mana hendak cari RM20,000 untuk bayaran tunai.
Harga rumah melambung-lambung ini sememangnya menjadi isu semasa negara.
Ia dibicarakan oleh rakyat di semua peringkat. Golongan marhain
mengeluh, kelas pertengahan merengus dan golongan politik dilihat
senantiasa berbahasa kiasan.
Paling kelakar bila kumpulan pemaju pula beria-ia tampil dengan
kenyataan 'sektor hartanah diyakini kembali pulih tidak lama lagi’.
Maksudnya ialah harga semasa yang ditangisi rakyat sebagai 'mahal’ tidak
sesekali akan diturunkan.
Itu bacaan saya terhadap industri perumahan sekarang. Inilah berita
negatif saya kepada Syed. Mungkin dia tidak menduga menerima maklum
balas saya, walaupun berulang kali juga saya ingatkan bahawa mungkin
sebaliknya akan berlaku, siapa tahu. Mungkin benar turun. Lagi pun saya
bukan pakar. Sekadar meneliti trend semasa dan pendapat penganalisis,
lalu dirangkum dan dirumuskan.
Tetapi mengambil kira semua faktor langsung dan tidak langsung dalam
industri perumahan seperti kos pembinaan, kos hartanah dan siapnya
aliran MRT di Lembah Klang, ayat 'harga turun’ tidak mungkin ditemui
dalam iklan rumah.
Tidak mahu menekan terlalu lama bab harga ini, saya cuba menasihati Syed
untuk menangani masalah ini secara berdepan. "Ini tiada dalam manual
atau buku panduan membeli rumah. Ini adalah daripada pengalaman,’’ ujar
saya dalam 'nicotiana tabacum' kedua.
Syed, berikut adalah lima petua Merrepak untuk anda membeli rumah. Tidak
wajib patuh. Tidak wajib akur. Memadai senyum, cukuplah.
1. Kahwin
Belum ada jodoh? Bagaimana hendak ada jodoh jika calon pun tiada. Tidak
apa. Bukan hendak cerita hal jodoh pun. Tetapi berkahwin juga bermakna
percantuman dua ekonomi suami isteri.
Pendapatan seisi rumah ini menjadi kriteria yang baik ketika memohon
pembiayaan pembelian rumah, berbanding seorang. Lebih-lebih lagi bank
sekarang yang mengetatkan syarat kelayakan.
Sudahlah rumah mahal, bank pula ketat. Peritlah ekonomi negara
dibuatnya. Serba-serbi sakit. Jadi bagi anda yang sudah berumahtangga,
ketahuilah anda sudah ada satu markah untuk memohon dana bank.
2. Tukar gaya hidup
Susah jika ia sudah biasa dan seronok diamalkan. Tetapi sesi karaoke
itu wajarkah diamalkan, melainkan anda betul-betul menjadikan bidang
nyanyian sebagai punca pendapatan. Jadi yang saja berkaraoke hendak
lepaskan geram, boleh dikurangkan. Itu satu contoh sahaja.
Saya sarankan apa sahaja perbelanjaan tinggi sama ada untuk hiburan
atau sukan, jika boleh, kita korbankan demi mencapai matlamat memiliki
rumah. Permainan seperti golf, kembara kenderaan pacuan empat roda dan
lain-lain. Mahal semuanya itu. Kembalikan semula hanya sesudah memiliki
rumah dan pendapatan stabil.
3. Tamatkan hutang kad kredit
Antara aspek yang bank teliti dalam permohonan pembiayaan anda ialah
berapa liabiliti semasa. Hutang kereta, hutang kad kredit dengan gaji
anda, bagi mencari ruang tambahan bagi anda membuat pembayaran bulanan
gadai janji rumah.
Jadi, langkah terbaik ialah uruskan dulu hal hutang kad kredit
terutamanya, kerana ia 'beranak’ 18 peratus setahun. Soal keperluan kad
kredit, itu anda fikir sendirilah. Malas hendak tazkirah orang yang suka
berbelanja di luar kemampuan.
4. Sentiasa ikuti perkembangan pasaran rumah
Ada masanya anda dikemukakan peluang membeli rumah tetapi anda tidak
teruskan kerana pelbagai alasan seperti tiada ilmu atau tiada maklumat.
Helo! Semua maklumat yang dimahukan itu boleh diperoleh secara dalam
talian, kalau malas sangat sekali pun hendak bertanya orang. Jika
berterusan memberi alasan 'tidak berani’, anda mungkin terlepas
peluang.
Sama
seperti kisah seorang kenalan yang mengaku berasa rugi kerana tidak
mengendahkan iklan rumah teres RM300,000 di Shah Alam pada 2001. Pada
2005, harga rumah itu sudah naik RM450,00 dan kini berlegar sekitar
RM600,000. Pada harga RM400,000 sekarang yang ada di Shah Alam hanyalah
apartmen. Rumah teres tiada lagi.
5. Berani ambil risiko
Kadang-kadang ada bagusnya mengambil risiko membeli rumah, walaupun gaji
cukup-cukup sahaja. Kisahnya seorang lagi kenalan, membeli rumah
RM300,000 juga 12 tahun lalu, setelah ditolak segala hutang lain
termasuk makan minum, baki duit pada tangan hanya RM200. Duit itu boleh
diguna untuk tengok wayang, karaoke atau apa sahaja, tetapi cukup-cukup
sahaja. Tidak lebih. Janji ada.
Cuma ia rumit bila kereta rosak, dan kosnya melebihi RM200. Maka kad
kredit digunakan. Tetapi kemungkinan negatif itu jarang-jarang berlaku.
Percayalah, jika berani ambil risiko dan mengamalkan keempat-empat
perkara yang digariskan di atas iaitu kahwin, tamatkan hutang kad
kredit, tukar gaya hidup dan sentiasa ikuti perkembangan pasaran rumah,
Insya-Allah anda boleh memiliki rumah. Syed, boleh tak?