Friday, 29 December 2017

Betul ke ni?? 5 PETUA UNTUK MEMBELI RUMAH UNTUK ORANG BUJANG

Betul ke ni?? 5 PETUA UNTUK MEMBELI RUMAH UNTUK ORANG BUJANG | Kebanyakan masa bila sahabat handai bertanya soalan serius ini, saya tertanya juga apakah mereka menganggap saya ini pencipta Waze. Letak saja alamat, mesti tahu arah tuju.
Advertisement
"Betulkah rumah akan turun harga tahun depan?’’ soal Syed dengan muka penuh pengharapan. Beliau merujuk kepada beberapa kenyataan kerajaan bahawa sektor hartanah negara ini mengalami situasi 'tidak laku’ dan fakta, betapa harga rumah sekarang melam­pau-lampau.
 
Yang diistilahkan 'mampu milik’ pun berada di paras RM400,000 sebuah. Berapa gaji minimum anda kena miliki untuk layak dapat pinjaman bank atau gadai janji (mortgage)? Dan katakanlah bank hanya memberi kemudahan 95 peratus. Mana hendak cari RM20,000 untuk bayaran tunai.
Harga rumah melambung-lambung ini sememangnya menjadi isu semasa negara. Ia dibicarakan oleh rakyat di semua peringkat. Golongan marhain mengeluh, kelas pertengahan merengus dan golongan politik dilihat senantiasa berbahasa kiasan.
Paling kelakar bila kumpulan pemaju pula beria-ia tampil dengan kenyataan 'sektor hartanah diyakini kembali pulih tidak lama lagi’. Maksudnya ialah harga semasa yang ditangisi rakyat sebagai 'mahal’ tidak sesekali akan diturunkan.
Itu bacaan saya terhadap industri perumahan sekarang. Inilah berita negatif saya kepada Syed. Mungkin dia tidak menduga menerima maklum balas saya, walaupun berulang kali juga saya ingatkan bahawa mungkin sebaliknya akan berlaku, siapa tahu. Mungkin benar turun. Lagi pun saya bukan pakar. Sekadar meneliti trend semasa dan pendapat penganalisis, lalu dirangkum dan dirumuskan.
Tetapi mengambil kira semua faktor langsung dan tidak langsung dalam industri perumahan seperti kos pem­binaan, kos hartanah dan siapnya aliran MRT di Lembah Klang, ayat 'harga turun’ tidak mungkin ditemui dalam iklan rumah.
Tidak mahu menekan terlalu lama bab harga ini, saya cuba menasihati Syed untuk menangani masalah ini secara berdepan. "Ini tiada dalam manual atau buku panduan membeli rumah. Ini adalah daripada pengalaman,’’ ujar saya dalam 'nicotiana tabacum' kedua.
Syed, berikut adalah lima petua Merrepak untuk anda membeli rumah. Tidak wajib patuh. Tidak wajib akur. Memadai senyum, cukuplah.
1. Kahwin
Belum ada jodoh? Bagaimana hendak ada jodoh jika calon pun tiada. Tidak apa. Bukan hendak cerita hal jodoh pun. Tetapi berkahwin juga bermakna percantuman dua ekonomi suami isteri.
Pendapatan seisi rumah ini menjadi kriteria yang baik ketika memohon pembiayaan pembelian rumah, berbanding seorang. Lebih-lebih lagi bank sekarang yang mengetatkan syarat kelayakan.
Sudahlah rumah mahal, bank pula ketat. Peritlah ekonomi negara dibuatnya. Serba-serbi sakit. Jadi bagi anda yang sudah berumahtangga, ketahuilah anda sudah ada satu markah untuk memohon dana bank.
2. Tukar gaya hidup
Susah jika ia sudah biasa dan seronok diamalkan. Te­ta­pi sesi karaoke itu wajarkah diamalkan, melainkan anda betul-betul menjadikan bidang nyanyian sebagai punca pendapatan. Jadi yang saja berkaraoke hen­dak lepaskan geram, boleh diku­rangkan. Itu satu contoh sahaja.
Saya sarankan apa sahaja perbe­lan­jaan tinggi sama ada untuk hiburan atau sukan, jika boleh, kita korbankan demi mencapai matlamat memiliki rumah. Permainan seperti golf, kembara kenderaan pacuan empat roda dan lain-lain. Mahal semuanya itu. Kembalikan semula hanya sesudah memiliki rumah dan pendapatan stabil.
3. Tamatkan hutang kad kredit
Antara aspek yang bank teliti dalam permohonan pembiayaan anda ialah berapa liabiliti semasa. Hutang kereta, hutang kad kredit dengan gaji anda, bagi mencari ruang tambahan bagi anda membuat pembayaran bulanan gadai janji rumah.
Jadi, langkah terbaik ialah uruskan dulu hal hutang kad kredit terutamanya, kerana ia 'beranak’ 18 peratus setahun. Soal keperluan kad kredit, itu anda fikir sendirilah. Malas hendak tazkirah orang yang suka berbelanja di luar kemampuan.
4. Sentiasa ikuti perkembangan pasaran rumah
Ada masanya anda dikemukakan peluang membeli rumah tetapi anda tidak teruskan kerana pelbagai ala­san seperti tiada ilmu atau tiada maklumat. Helo! Semua maklumat yang dimahukan itu boleh dipero­leh secara dalam talian, kalau malas sangat sekali pun hendak bertanya orang. Jika berterusan memberi alasan 'tidak berani’, anda mung­kin terlepas peluang.
Sama seperti kisah seorang kenalan yang menga­ku berasa rugi kerana tidak mengendahkan iklan rumah teres RM300,000 di Shah Alam pada 2001. Pada 2005, harga rumah itu sudah naik RM450,00 dan kini berlegar sekitar RM600,000. Pada harga RM400,000 sekarang yang ada di Shah Alam hanyalah apartmen. Rumah teres tiada lagi.
5. Berani ambil risiko
Kadang-kadang ada bagusnya mengambil risiko membeli rumah, walaupun gaji cukup-cukup sahaja. Kisahnya seorang lagi kenalan, membeli rumah RM300,000 juga 12 tahun lalu, setelah ditolak segala hutang lain termasuk makan minum, baki duit pada tangan hanya RM200. Duit itu boleh diguna untuk te­ngok wayang, karaoke atau apa sahaja, tetapi cukup-cukup sahaja. Tidak lebih. Janji ada.
Cuma ia rumit bila kereta rosak, dan kosnya melebihi RM200. Maka kad kredit digunakan. Tetapi kemungkinan negatif itu jarang-jarang berlaku. Percayalah, jika berani ambil risiko dan meng­amalkan keempat-empat per­kara yang digariskan di atas iaitu kahwin, tamatkan hutang kad kredit, tukar gaya hidup dan sentiasa ikuti perkembangan pasa­ran rumah, Insya-Allah anda boleh memiliki rumah. Syed, boleh tak?

No comments:

Post a Comment