Saturday 9 December 2017

Terbaru - ‘Skuad Badar’ bawa pasangan ditangkap khalwat ke tanah perkuburan untuk ditarbiyah

Terbaru - ‘Skuad Badar’ bawa pasangan ditangkap khalwat ke tanah perkuburan untuk ditarbiyah | Pernah diugut bunuh oleh kumpulan samseng serta diherdik segelintir masyarakat kononnya sibuk ‘menjaga tepi kain orang’, sedikitpun tidak menggugat fokus sekumpulan sukarelawan meneruskan inisiatif menangani keruntuhan akhlak dalam kalangan umat Islam khususnya di daerah ini...

Menggelarkan diri ‘Skuad Badar’, pelbagai kaedah unik dipraktikkan seperti membawa pasangan yang ditahan berkhalwat ke kawasan tanah perkuburan untuk diberikan nasihat tegas serta disertai ibu bapa bagi pesalah bawah umur, nyata memberi kesan positif.
Kini, selepas hampir dua tahun diasaskan, usaha murni mereka mendapat perhatian masyarakat di daerah Kuala Muda sehingga ada yang meminta bantuan mereka menjalankan usaha berkenaan di kawasan lain.
Pengerusinya, Azhar Mohamad berkata, niat asal mereka untuk membantu mengurangkan aktiviti tidak bermoral masyarakat Islam di kawasan kediaman mereka di Bandar Seri Astana, di sini.
“Niat kami hanya untuk membantu pihak berkuasa mengurangkan kadar masalah sosial yang membabitkan masyarakat beragama Islam khususnya dalam kalangan anak muda.
“Kami menjalankan usaha seperti pergi ke taman awam, hotel murah, pusat hiburan keluarga, port penagihan dadah dan tempat golongan muda menjalankan kegiatan lumba haram.
“Kami juga akan masuk ke kafe siber terpilih ketika khutbah Jumaat berlangsung bagi memastikan golongan lelaki Islam tidak berada di premis berkenaan ketika itu,” katanya ditemui semalam.
Azhar berkata, golongan terbabit akan didekati dan diberikan tarbiyah bagi tujuan mendidik dengan harapan menimbulkan kesedaran dalam diri mereka.
Katanya, bagi mewujudkan rasa insaf, golongan yang ditangkap berkhalwat akan dibawa ke kawasan tanah perkuburan Islam dan diberikan nasihat tegas yang turut disertai ibu bapa masing-masing bagi yang masih di bawah umur.
“Seperti kita sedia maklum kubur adalah destinasi terakhir dalam kehidupan kita yang mempunyai azab dan seksaan.
“Kita melihat pendekatan ini mampu meruntun jiwa mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini terutama apabila turut disertai oleh ibu bapa masing-masing sehingga ada yang mengalirkan air mata.
“Namun, bagi yang melakukan kegiatan seperti permainan berbentuk pertaruhan atau lumba haram, kita dekati mereka dengan cara memberi nasihat secara berhemah di samping menyampaikan ilmu mengenai Islam,” katanya.
Menurutnya, hasil usaha mereka dapat menyelesaikan konflik hubungan yang tidak mendapat restu keluarga selain dapat menjejaki pasangan curang serta berjaya menemui gadis yang melarikan diri dari rumah.
Dalam pada itu, Azhar berkata, pihaknya turut berdepan dengan cabaran hebat sepanjang menjalankan tugas itu iaitu tentangan daripada kumpulan samseng.
“Kami pernah diugut untuk ditembak selain diserang oleh kumpulan terbabit ketika menjalankan tugas.
“Apabila berdepan dengan kumpulan samseng yang dipercayai menjaga kawasan yang kami masuk itu, kami akan berbincang secara baik dengan menerangkan tujuan sebenar kami.
“Kami bersyukur setakat ini kami belum diapa-apakan dan mereka masih bertolak ansur selepas kami menyatakan bahawa tugas kami hanya tertumpu kepada masyarakat beragama Islam,” katanya.
Azhar berkata, pihaknya juga bersyukur pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Agama Islam Daerah sedia maklum dengan usaha mereka dan menasihati mereka supaya sentiasa berhati-hati.
“Sebelum tugas bermula, kami memaklumkan terlebih dahulu kepada polis serta mendapatkan surat kuasa daripada imam masjid untuk menggunakan masjid dan kawasan perkuburan,” katanya.
 Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment